Pilihanraya kampus, pilihanraya untuk siapa?

Pilihanraya kampus, pilihanraya untuk siapa?

Demam pilihanraya kampus sudah pun kembali.Kedengaran suara-suara melobi mahasiswa untuk menyokong pihak tertentu. Risalah-risalah samada dibenarkan ataupun tidak terdapat di sana sini. Suasana menjadi hangat dan kadangkala mencetuskan pertelingkahan. Ketika inilah juga kita dapat melihat bakal – bakal pemimpin negara di masa hadapan, menunjukkan bakat dan kepimpinan mereka, untuk merebut kerusi dalam parlimen mahasiswa atau lebih dikenali sebagai MPP.

Suatu masa dahulu, situasi ini benar berlaku. Persaingan cukup sengit. Yang mana kawan, dan mungkin juga berasal dari kampung halaman yang sama, menjadi lawan hanya kerana berbeza pendirian dalam soal politik mahasiswa. Pemimpin mahasiswa berani, lantang menyuarakan pendapat mereka, berani menyuarakan apa yang betul dan salah dari persepsi mereka. Ketika inilah kita dapat melihat para pemimpin mahasiswa bersama pendokong mereka dikalangan mahasiswa berkempen dan berusaha menjaguhi setiap permasalahan dan isu mahasiswa.

Ini adalah gambaran ringkas suasana pilihanraya di kampus suatu masa dahulu. Mereka bangga dengan idealisme, pendirian, pandangan dan pendapat mereka sendiri. Namun adakah semuanya ini masih berlaku pada masa ini? Kini politik mahasiswa bergerak melalui kumpulan ataupun kepartian, yang mana pada pendapat saya memberikan pengalaman bagus untuk mereka. Tetapi, adakah benar pilihanraya kampus yang dijalankan hari ini benar – benar mampu melahirkan bakal pemimpin masa hadapan ataupun hanya sekadar penerus tradisi?

Jika dulu wujud puak nasionalis dan puak islamik, kini pula istilahnya telahpun bertukar kepada pro aspirasi dan pro pembangkang. Apakah itu? Apakah yang di aspirasikan dan apakah yang di bangkangkan? Siapa yang membangkangkan siapa dan siapa yang mengaspirasikan siapa?

Seringkali dikatakan kini, pentadbiran universiti mencampuri urusan pilihanraya mahasiswa dan mewujudkan keadaan berat sebelah dalam pemilihan tersebut. Mengapa perlu ada satu pihak disokong oleh universiti manakala di suatu pihak lagi tidak mendapat sokongan universiti. Siapakah yang bertanding, pentadbiran universiti melalui proksi-proksinya dikalangan mahasiswa ataupun mahasiswa sesama mahasiswa? Hakikatnya, isu ini membawa lebih kemudaratan kepada kepimpinan mahasiswa jika dibandingkan dengan kebaikannya.

Jangan dibezakan setiap kumpulan mahasiswa yang bertanding untuk pemilihan akan datang ini. Sikap berat sebelah ini hanya akan menjadikan satu pihak yang ‘disokong’ ini menjadi semakin lemah kerana sentiasa dibantu, dipertahankan, sementara pihak yang sentiasa ditekan menjadi semakin kuat. Golongan yang disokong ini akan menjadi terlalu berharap dan tidak mampu untuk berdiri sendiri sementelahan golohan yang satu lagi semakin kukuh dan matang kerana berusaha demi survival mereka. Ini adalah hukum alam yang biasa. Mereka seharusnya diberikan panduan dan dorongan yang adil tanpa kompromi kerana mereka adalah bakal pemimpin masa hadapan yang akan berkhidmat juga kepada negara kita ini.

Pengaruh politik luar juga menghantui perjuangan mahasiswa kini tidak kiralah samada parti kerajaan mahupun pembangkang. Kedengaran desas desus mengatakan untuk pemilihan wakil mahasiswa untuk pilihanraya kampus juga memerlukan persetujuan pertubuhan politik tertentu. Bukannya saya menyeru untuk tidak ambil tahu apa yang berlaku di luar kampus, tetapi pemimpin mahasiswa perlu fokus dalam perjuangan mereka, kerana mereka mewakili kepentingan keseluruhan mahasiswa. Menjadi perwakilan mahasiswa adalah jambatan untuk merapatkan jurang di antara mahasiswa dan pihak pentadbiran. Politik luar itu adalah isu lain. Untuk apa sibuk melobi sokongan pemimpin politik luar, sedangkan di dalam kampus sendiri masih tidak mampu berdiri sendiri. Seperti sejarah melayu klasik, tidak layak menjadi raja, gadaikan kedaulatan dengan menagih sokongan penjajah. Akhirnya bumi sendiri terjajah.

Isu kebajikan, penempatan, pengangkutan, keselamatan dan pembelajaran perlulah diberikan penekanan. Mampukah mereka mendesak para pensyarah menggunakan sepenuhnya teknologi dalam pengajaran mereka, mendapatkan bahan pembelajaran daripada web, dan kurikulum pendidikan di kampus mereka sentiasa mengikuti kehendak pasaran? Mampukah mereka mengubah pemikiran mahasiswa daripada budaya menerima dan menghafal di dalam kelas, kepada pemikiran yang lebih kreatif dan kritis. Mampukah mereka menyeru mahasiswa kita mengubah suasana dalam kuliah daripada sekadar mendengar dan menyalin kepada budaya perbincangan dalam kelas? Menyeru mahasiswa memperbagaikan kegiatan mereka, sebagai persediaan untuk menjadikan diri mereka lebih berkualiti? Ataupun sekadar menaikkan isu-isu seperti pesta konvo siapakah yang paling untung, program pelajar manakah yang gagal dan kumpulan manakah yang paling kerap memenangi pilihanraya?

Soal pesta konvo, siapa artis yang dibawa masuk, program mana yang baik atau tidak bukanlah isu utama perjuangan idealisma mahasiswa. Pada saya, ini adalah strategi persatuan mahasiswa tersebut untuk menjayakan program untuk mahasiswa mengikut selera semasa. Mereka berusaha keras mencari bekerja, mencari pengalaman bukannya sekadar duduk dan mengkritik yang baik atau tidak. Dan ini memerlukan mereka berusaha keras memastikan segala yang diusahakan oleh mereka berhasil. Sekiranya program mereka tidak mendatangkan faedah, mengundang ketegangan antara penghuni kampus, sudah pastinya pentadbiran universiti tidak membenarkannya dilaksanakan.

Persoalan pokoknya, adakah pilihanraya kampus adalah asas kepada pembentukan pemimpin masa hadapan? Sekadar penerus tradisi? Ataupun hanya sebagai tunggangan golongan tertentu demi kepentingan mereka? Adakah bakal pemimpin mahasiswa yang akan bertanding dalam pilihanraya kali ini akan memimpin mahasiswa kearah kecemerlangan, disaat negara dihantui dengan isu kebanjiran graduan menganggur, masalah graduan tidak berkualiti dan mampu menyambut saranan kerajaan untuk membangunkan modal insan? Ataupun mereka bertanding sekadar untuk mendapatkan nama, pangkat, kedudukan, wang mahupun kerana dipaksa oleh golongan tertentu?

Saya menyokong kata-kata Mohd. Firdaus Mohamed Khairil sebelum ini, hanya mahasiswa memahami aspirasi mahasiswa. Sewajarnya barisan kepimpinan mahasiswa yang sentiasa memahami kehendak aspirasi mahasiswa dan seiring dengan kehendak aliran zaman adalah kelompok mahasiswa yang berjaya. Berikan kebebasan kepada mahasiswa beridealisma, menentukan arah perjuangan mereka. Janganlah dianggap golongan yang radikal sebagai penentang. Galakkan mereka menjadi berani, berfikiran kritis dan kreatif, daripada sekadar menjadi pengecut dan pak turut.

Berikan mereka peluang sama rata dan pandulah mereka jika mereka tersasar. Biarkan mereka samada proaspirasi dan juga dilabel sebagai pembangkang berdiri di atas kaki mereka sendiri, merasai keperitan jatuh bangun dalam menegakkan pendirian, pendapat dan idealisme mereka demi masa depan negara kita. Pilihanraya kampus ini adalah pilihanraya mereka, kerana disinilah mereka mengasah bakat kepimpinan mereka, pemimpin masa hadapan negara dan duta kepada masyarakat.


Amin Fauzan
Mantan Naib Pengerusi Sekretariat Rakan Muda UKM

Comments

Popular Posts