Ekonomi asas Ummah merdeka
Ekonomi asas ummah merdeka
Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-49, rakyat Malaysia harus disedarkan bahawa globalisasi tidak mengubah hakikat bahwa setiap negara masih bertindak dan berfikir secara berpuak-puak serta mementingkan perjuangan dan kepentingan bumi mereka.
Semakin hebat arus globalisasi, kecenderungan ke arah mempertahankan hak negara masing-masing meningkat. Ini bermakna globalisasi menjadikan kita lebih kompetitif, efektif, global serta juga lebih nasionalis demi survival.
Malaya mendapat kemerdekaan setelah Britain diaibkan dalam percaturan geopolitik tahun 1956, bila Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada Britain dan Perancis menghentikan serangan ke atas Mesir ekoran pengambilalihan Terusan Suez oleh Mesir di bawah Gamal Nasser.
Kita dapat mencongak yang sekutu Israel kemudiannya mengatur langkah bagi memastikan kepimpinan AS tidak lagi menyebelahi negara Arab dalam pertelingkahan di Timur Tengah.
Krisis Suez juga mempercepatkan keruntuhan Empayar British. Perdana Menteri Anthony Eden, seperti Tony Blair yang bermula sebagai pemimpin yang sangat popular, terpaksa melepaskan jawatan beliau. Tahun berikutnya Malaya mendapat kemerdekaan diikuti dengan kemerdekaan Sabah dan Sarawak melalui Malaysia pada tahun 1963. Pada masa yang sama, Britain kekal sebagai sekutu AS yang terbesar. Turut muncul sebagai sekutu AS yang penting ialah Israel. Kedudukan ini tidak berganjak.
Malaysia pula mula menapak di pentas antarabangsa, menyelar rejim aparteid, menghantar tentera pengaman ke Congo, mula mengubah haluan hubungan luar dengan bersifat berkecuali dalam Perang Dingin antara blok Barat dan komunis di bawah pimpinan Soviet Union. Kita juga tidak henti-henti memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Setelah Malaysia mengatasi beberapa isu dalam negara seperti perpisahan dengan Singapura dan rusuhan kaum 1969, kita mula mempelopori perbankan Islam, universiti Islam, seterusnya mencipta profil di peringkat antarabangsa dan di kalangan negara-negara Islam.
Kemasukan ribuan pelancong Arab dan pelajar ke Malaysia kini adalah lambang silaturahim dan penyatuan. Kita mungkin tidak bertegur sapa bila bertembung di restoran makanan Arab di Kuala Lumpur, tapi kehadiran mereka di sini menguntungkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Sumbangan utama Malaysia terhadap penyatuan Islam ialah dengan terus meningkatkan status ekonomi negara. Inilah yang menambat hati Al- Jazeera untuk beroperasi di sini. Saya merasakan selagi kita gagal menyediakan prasarana dan kandungan media yang dihormati di peringkat antarabangsa, kita hanya boleh turut bersedih di atas kematian beribu-ribu rakyat Lebanon. Kemusnahan yang dialami Lebanon yang baru bernafas semula sangat menyedihkan.
Pemimpin Arab dari Mesir, Arab Saudi dan Jordan menyalahkan Hizbullah di atas peperangan di Lebanon, pendirian yang menentang arus pemikiran penduduk Arab atau Arab Street. Bagi mereka Hizbullah telah berjaya menyatupadukan Sunnah dan Syiah, serta mengembalikan harga diri dan maruah penduduk Arab. Bagi Arab Street, dasar luar AS adalah anti-Arab serta anti-Islam.
Semasa Lebanon diserang yang menyaksikan kanak-kanak terbunuh, AS memenuhi permintaan Israel bagi menghantar tambahan bom cluster, bunker busters dan smart bombs. Tony Blair pula membenarkan pesawat pengebom mengisi minyak di pangkalan-pangkalan Britain.
Seperti mana Al-Qaeda dikaitkan dengan Iraq di bawah Saddam Hussein, AS bercita-cita mahu melibatkan Iran (dan Syria) dengan Hizbullah. Seperti yang dijangkakan sejak peristiwa 9/11 pada 2001 lagi, setelah bertapak di Iraq, AS akan beralih ke Iran. Perkara ini turut diperbincangkan dalam buku kecil yang saya terbitkan pada 2002 - War of Deception. Tidak mungkin AS menakluki Iran, tetapi terdapat banyak cara lain bagi AS memastikan Iran tidak menjadi satu ancaman terhadap kepentingannya dan terhadap sekutunya iaitu Israel.
Iran dan Hizbullah bagaimanapun tidak terjejas ekoran tindakan ketenteraan Israel di Lebanon. Malah pemimpin Hizbullah muncul sebagai hero Arab yang baru seperti mana Gamal Nasser dulunya menjadi wira Arab.
Kedua-dua pihak selama ini ada bertukar tahanan tanpa mencetuskan peperangan. Kenapakah kali ini penahanan dua anggota tentera Israel mencetuskan tindakan ganas rejim Tel Aviv?
AS dan Israel merasakan mereka dapat mengecapi kemenangan dalam masa yang singkat. Bush dan Blair menolak sebarang usaha kearah gencatan senjata kerana mahu mewujudkan satu suasana politik Timur Tengah yang baru dengan kekalahan Hizbullah yang memalukan.
Kerajaan Arab yang pro-Amerika akan memberikan AS akses sepenuhnya kepada sumber minyak mereka. Perdana Menteri Ehud Olmert meneruskan strategi Theodor Herzl yang menulis dalam risalah menggariskan penubuhan Zionis yang kehadiran pihak Zionis di Palestin akan menguntungkan Eropah. Ini kerana mereka akan menjadi tembok memisahkan Eropah dari Asia, serta bertindak sebagai kubu ketamadunan terhadap keganasan barbarisme. Ini tetap menjadi doktrin Israel sekarang. Negara-negara yang menentang mereka adalah barbaric.
Bagaimanapun Israel digagalkan oleh segerombolan gerila berteknologi tinggi, yakni Hizbullah dan ini sebenarnya telah merubah balance of power dan doktrin pertahanan. Kedudukan Perdana Menteri Olmert agak meruncing dengan pengendalian kerajaan mengenai krisis Lebanon dikecam hebat. Menteri Pertahanan Israel Amir Peretz mungkin terpaksa meletak jawatan.
Permasalahan Timur Tengah turut berpunca daripada George Bush bersifat sebagai kepala perang dan tukang gaduh yang gemar mempamerkan kekuasaan dan pengaruh AS. Blair pula sekadar mahu jadi pak turut yang mahu kita percaya dakwaannya yang beliau telah berjaya meredakan sikap Bush. Apakah tanpa Blair, Bush akan membelasah negara-negara Arab dan membunuh ramai rakyat Arab?
Bagi saya sengketa Timur Tengah tidak akan berakhir selagi sifat berpuak-puak AS- Britain, AS-Israel berkekalan, selagi Israel tidak menerima hakikat ia akan dikelilingi Arab Street selama-lamanya.
Naluri rakyat bagi membincangkan perihal perkahwinan dan status pertunangan artis adalah manifestasi hak asasi masing-masing. Harapan kita ialah sempena sambutan kemerdekaan ke-49 ini, hak asasi penduduk Palestin dan Lebanon akan turut terbela. Kita berduka setiap kali rejim Israel melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin, menidakkan kemenangan Hamas pada pilihan raya sah dan menangkap Timbalan Perdana Menteri Palestin.
Kita di Malaysia hanya akan merdeka secara total setelah kita dapat mempengaruhi barang sedikit, aliran pemikiran dan urusan antarabangsa.
Maruah negara dan bangsa hanya akan terpelihara sekiranya pandangan rakyat Malaysia tentang hak asasi manusia diutarakan dengan berkesan, melalui media dan platform seperti Al-Jazeera, CNN, BBC, apabila profesor kita menulis untuk Foreign Affairs, Wall Street Journal, apabila para pemikir hubungan luar negara mengadakan pertemuan dengan editor akhbar di London dan New York, apabila pemikir di think-tanks di Washington dan Congressional Staffers di Capitol Hill menghormati pandangan kita. Tanpa kejayaan ekonomi, usaha ini akan bertambah sukar.
Utusan Malaysia 31806
Oleh DAIM ZAINUDDIN
Oleh DAIM ZAINUDDIN
Comments