Sunday, September 24, 2006

Meneliti Ungkapan Pope

Meneliti ungkapan Pope

Oleh DAIM ZAINUDDIN

PERDANA Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan menyifatkan petikan kontroversi Pope Benedict XVI berupa ungkapan ahli politik biasa, bukannya seorang ahli agama. Pope juga bukan seorang intelektual biasa yang gemar mencetuskan perdebatan. Bagi penganut Kristian, kata-kata Pope adalah muktamad, tidak boleh dipinda atau diadili oleh proses kehakiman.

Manakala menurut pemimpin golongan Coptic, Pope Shenouda III pula, kata-kata yang menyinggung perasaan orang Islam adalah bertentangan dengan ajaran Nabi Isa. Kita turut bimbang jika terdapat perkara tersirat dalam kontroversi ungkapan Pope mengenai Islam, sama ada ia membayangkan seakan rasa bimbang terhadap pengaruh Islam. Tiga dari 16 perenggan yang menyentuh Islam dalam ucapan beliau di sebuah universiti Jerman pada 12 September berkisar kepada hujah maharaja empayar Byzantium beragama Kristian dalam satu pertemuan dengan seorang ilmuwan Parsi mengenai Islam beberapa ratus tahun dahulu.

Peristiwa ini dikatakan berlaku sekitar tahun 1391 berhampiran Ankara ketika maharaja bersiap sedia hendak berperang dengan Turki yang sebelum itu memberi perlindungan kepada Byzantium.Pope memetik maharaja itu sebagai berkata: “Tunjukkan ajaran baru yang dibawa oleh Muhammad kepada saya dan dalam ajaran itu kamu hanya akan menemui perkara-perkara jahat dan kejam, seperti perintahnya supaya agama yang dibawanya disebarkan dengan pedang.”

Kita tidak pasti ketepatan kandungan buku suntingan Profesor Theodore Khoury itu yang dipetik oleh Pope terutama apakah wujud ilmuwan Parsi yang berbicara dengan maharaja berkenaan. Kenapa pula tiada petikan daripada cendekiawan Parsi itu?

Terdapat banyak lagi petikan daripada tokoh bukan Islam, tetapi Pope menggunakan pandangan seorang maharaja yang kurang ternama. Bercakap dalam konteks sejarah, Mahatma Gandhi dalam ucapan kepada gagasan Young India pada 1922 berkata, beliau sangat pasti bukanlah pedang yang memberikan Islam ketinggian. Sebaliknya ia datang daripada kesederhanaan Nabi Muhammad yang tidak berganjak daripada prinsip ini, kehebatan sifat rendah diri nabi, patuhnya nabi pada janji, taat setia nabi kepada kawan dan pengikut, keberanian beliau, ketakwaan beliau kepada Tuhan serta pegangan dan kepercayaan nabi kepada misi beliau. Bagi Gandhi inilah sifat-sifat yang membanteras dan mengatasi segala halangan dan bukannya pedang.

Empat belas tahun kemudian, terbit pula kata-kata memuji Nabi Muhammad daripada penulis ternama British yang juga merupakan pemikir ulung golongan Fabian, yakni George Bernard Shaw.

Bernard Shaw berkata, beliau percaya jika seorang insan seperti Nabi Muhammad mengambil peranan sebagai diktator moden, nabi akan berjaya menyelesaikan permasalahan yang ada sekali gus membawa kebahagiaan dan keamanan. Eropah, menurut Bernard Shaw, sudah mula terpegun dengan ketakwaan dan pegangan nabi. Pada abad akan datang, yakni abad ini, Eropah mungkin akan mengiktiraf kegunaan pendirian ini dalam mengatasi sebarang kemelut. Apakah telahan Bernard Shaw ini dikhuatiri akan menjadi realiti? Sebelum ini sebagai Cardinal Ratzinger, Pope Benedict menentang kemasukan Turki ke Kesatuan Eropah, dengan alasan Turki berasal daripada kelompok budaya yang berbeza dan kemasukan Turki berupa satu kesilapan besar yang bertentangan dengan arus sejarah.

Pope sudah tentu sangat arif akan sensitiviti kata-kata sebegitu dalam konteks sejarah. Semasa hendak memulakan Perang Salib pertama pada akhir tahun 1095, Pope Urban II menyampaikan amanatnya kepada para paderi, hulubalang dan orang miskin dengan kata-kata yang orang Turki adalah bangsa yang keji yang dipinggirkan Tuhan. Membunuh bangsa tersebut, menurut Pope Urban II, adalah satu perbuatan suci, malahan menjadi tanggungjawab orang Kristian menghapuskan mereka dari muka bumi.

Setelah ucapan Pope Benedict di Universiti Regensburg itu dikecam, jurucakap Vatican dan kemudiannya Pope sendiri, menyesali kontroversi yang tercetus. Pope berkata beliau sekadar memetik kata-kata maharaja Byzantium, yakni Manuel Paleologos 11 itu.
Pope setakat menyatakan kekesalan kerana kata-katanya menyinggung perasaan umat Islam, sambil menegaskan petikan itu tidak membayangkan pendapat peribadi beliau.
Kita diminta percaya bahawa tidak ada sebarang muslihat dalam langkah Pope memuatkan petikan silam di awal dan di akhir ucapan beliau.

Konsep akal dan logik, yakni antara topik ucapan Pope di Jerman itu, menuntut kita mengajukan beberapa persoalan berbentuk hujah kepada pihak Vatican.
Adakah dengan tidak menyangkal dakwaan Manuel dalam ucapan beliau, Pope bersetuju dengan Manuel? Kalau Pope tidak bersetuju dengan Manuel, kenapa pula dipetik kata-kata beliau?

Apakah Vatican dan Pope tidak menjangkakan bahawa petikan ini bakal mencetuskan kontroversi, terutama ketika berlaku perang terhadap keganasan? Sumber-sumber Vatican ada berkata mereka ada membangkitkan kewajaran menggunakan ungkapan itu tetapi tidak pula pasti sama ada ia sampai ke telinga Pope.

Apakah ini kaedah subtle bagi menerapkan dakyah bahawa Islam menyeru kepada keganasan?
Kenapakah Pope tidak memetik ayat-ayat suci al-Quran bagi mengkaji sama ada wujud paksaan dalam agama? Pope ada menyebut tidak ada paksaan dalam agama.

Sebenarnya Pope dan Vatican tidak dapat menyekat umat Islam dari mencurigai motif sebenar mereka memuatkan ungkapan Manuel bulat-bulat tanpa membicarakan watak Manuel ini. Siapakah Manuel? Apakah Manuel tidak ada prejudis terhadap Islam? Sebaliknya Pope menyifatkan Manuel sebagai erudite yakni seorang yang berilmu, tentunya satu penjelasan yang memperkukuhkan kewibawaan Manuel.

Kita tidak mahu mengaitkan kekejaman yang berlaku semasa Inquisition dan Perang Salib serta bagaimana bangsa Sepanyol beragama Islam dipaksa menganut agama Kristian. Kita juga enggan menyamakan tindak-tanduk Amerika Syarikat di Iraq dan Afghanistan dengan Kristian. Kita sekadar meminta Vatican peka akan perasaan orang lain. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku pengerusi OIC sebelum ini meminta Pope Benedict meminta maaf serta menarik balik kata-kata itu.

Di Malaysia di mana Islam menjadi agama rasmi dan penganut Islam merupakan kumpulan majoriti, penganut agama lain hidup dalam keadaan aman damai dalam suasana penuh toleransi. Harapan umat Islam di Malaysia ialah agar Pope benar-benar ikhlas dengan hasrat menganjurkan dialog di antara agama.

No comments: