Jadikan Bola Sepak Satu Industri

berita harian, 24th July 2004
arghkss~~ they edit too much..grr..this was the 4th time they do that to my articles!!
this is the real one loo~~
Jadikan Bolasepak Negara Satu Industri

Menukar kepimpinan FAM bukanlah satu idea yang bernas. Mengapa tidak dicanangkan untuk merombak sahaja keseluruhan persatuan bolasepak di negara ini? Bukankah itu lebih menyeluruh dan lebih adil? Dan inilah dikatakan sebagai rombakan sehingga ke akar umbi. Namun demikian, cadangan oleh orang kuat FAM juga tidak munasabah, iaitu memberi kerakyatan kepada warga asing supaya bermain untuk Malaysia. Untuk apa? Supaya ranking Malaysia naik dengan memenangi perlawanan tertentu tetapi prestasi pemain tempatan masih di takuk lama. Samalah seperti kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Hakikatnya mutu bolasepak Malaysia tidaklah menurun, tetapi prestasinya mendatar dari dulu hingga kini. Sementara negara lain yang dahulunya hanyalah ketisan untuk Malaysia, prestasinya semakin meningkat kerana perancangan yang kukuh. Sebagai contoh mudah, bayangkan prestasi bolasepak Jepun dahulu dan sekarang, bukankah jauh bezanya. Ini sekadar satu contoh mudah.

Menjadikan Perancis sebagai model untuk membentuk pasukan negara, iaitu merakyatkan warga asing semata – mata untuk menjadikan Malaysia menang pertandingan tertentu, tidak menjamin kecemerlangan bolasepak Malaysia untuk jangka masa panjang. Jepun dan Korea tidak pun merakyatkan pemain asing untuk mewakili mereka. Tetapi jika mencontohi corak pengurusan pasukan Liga- Liga Eropah seperti EPL dan Spanish Primera, adalah sesuatu yang wajar dicontohi.

Mereka menjadikan bolasepak sebagai satu perniagaan dan satu industri yang boleh membawa keuntungan, bukan sahaja keuntungan dari segi kewangan malahan juga pembangunan pemain tempatan kita. Apabila bolasepak dijadikan satu industri, ini bermakna mereka perlu melabur untuknya dan memastikan pulangan yang baik untuk setiap pelaburan mereka. Ini termasuklah strategi perniagaan melalui pembinaan pemain melalui penubuhan akademi persendirian, pengwujudan jenama dan perancangan perniagaan yang kukuh.

Jadikan liga Malaysia lebih terbuka dari segi pentadbiran pasukan dan juga permainannya. Ini bermaksud, dari segi pentadbiran, kita menjadikannya lebih liberal. Kita membenarkan sesiapa sahaja mengambil alih pentadbiran pasukan di peringkat negeri atau kelab. Ini bermakna, setiap organisasi yang mengendalikan bolasepak di negara ini perlu dikorporatkan untuk menjadikan mereka lebih kompetitif. Manakala had maksimum untuk pemain import bermain untuk setiap perlawanan di tambah ataupun ditiadakan. Biarkan pemain tempatan bertungkus lumus untuk bersaing dengan pemain import di dalam negara sendiri daripada membiarkan mereka sentiasa selesa di takuk lama.

Sebagai tambahan, kita mengalu-alukan sesiapa sahaja di dunia ini untuk melabur di dalam industri bola sepak tanah air, menaja atau mengendali pasukan tempatan sepertimana kita mengalu-alukan pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Memandangkan pasukan bolasepak tempatan telahpun dikorporatkan, ini bermakna mereka perlu bersaing untuk mendapatkan penaja. Untuk mendapatkan penaja ataupun pelabur yang terbaik, dan kekal bersama mereka perlu berusaha menjadikan diri mereka juga terbaik.

Malaysia mempunyai pelbagai kekuatan yang mampu membantu menarik pelabur asing untuk melabur dalam pelbagai industri, dan mengapa tidak untuk industri bolasepak tanahair. Melabur untuk melalui penajaan. Malaysia kini pun merupakan tumpuan dunia dalam pelbagai perkara, dan dengan kelebihan inilah kita perlu menjadikan liga Malaysia juga tumpuan dunia, paling kurang pun diperingkat Asia.

Tidak dapat dinafikan sekiranya pengurusan pasukan bolasepak tempatan agresif, kukuh dari segi pentadbiran dan kewangan, dapat menjadikan mutu permainan tempatan meningkat. Meningkatnya mutu permainan tempatan membantu meningkatkan mutu pasukan kebangsaan.

Fungsi FAM pula adalah memantau dan dan mewujudkan satu persekitaran yang positif untuk menjamin kecemerlangan bolasepak negara dan sebagai tambahan turut menggalakkan pelabur asing melabur dalam industri bolasepak tempatan. Dalam masa yang sama, kita juga dapat mengurangkan kebergantungan dana daripada FAM ataupun kerajaan, yang mana setiap pasukan bola sepak perlu mempunyai strategi untuk menjana kewangan mereka sendiri. FAM dan kerajaan tidak perlu lagi menampung pasukan bola sepak tempatan, sebaliknya menumpu kepada meningkatkan taraf liga tempatan ke antarabangsa sebagai jaminan pulangan kepada pelabur-pelabur yang melabur untuk pasukan tempatan.

Konklusinya, untuk merubah mutu bolasepak negara, bukanlah sekadar dengan merombak pucuk pimpinan FAM ataupun menukar jurulatih sahaja. Corak pentadbiran, pemikiran dan juga strategi perlu juga dirombak dan dikaji. Perubahan yang dilakukan perlulah sehingga ke akar umbi dan sentiasa sesuai mengikut peredaran zaman.

Sampai bila lagi kita mahu mendengar kata-kata ini diluahkan “Seandainya Mokhtar Dahari lahir di Eropah, sudah tentu beliau mampu pergi jauh”. Kita mampu setaraf dengan mereka, cuma kita tidak cukup berani untuk menjadi seperti mereka. Hakikatnya, peristiwa pasukan kebangsaan hampir diaibkan oleh pasukan ‘setahun jagung’ yang direkrut oleh syarikat swasta tidak lama dahulu, sepatutnya menjadi persolan. Adakah strategi pembangunan pasukan kebangsaan kita sekarang ini benar-benar berkesan?

Amin Fauzan
Kuala Selangor

seeking the truth~~...salahkah kalo kutuk gov lebey sket..chaist~~ anyway..thanks to editor, giving me another chance..ngeh2

Comments

Popular Posts