Friday, November 10, 2006

Keadilan untuk Saddam

Keadilan untuk Saddam.

Akhirnya Saddam Hussein di hukum gantung setelah lebih 3 tahun beliau digulingkan dan kedaulatan negaranya dicabul. Tidak cukup dengan itu, bekas pemimpin agung Iraq ini kemudiaanya diburu dan ditemui di dalam lubang yang selayaknya dihuni oleh tikus-tikus. Baghdad bandar yang dahulunya pernah menjadi pusat tamadun dunia, kini seperti sebuah kawasan yang mana nyawa manusia seolah-olah langsung tiada nilai.

Yang menghairankan, negaranya diceroboh atas tuduhan negaranya memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD), dan beliau juga dituduh akan menggugat kestabilan rantau tersebut, tetapi akhirnya beliau dijatuhkan hukuman kerana kesalahan yang langsung tidak berkaitan dengan sebab negaranya diceroboh oleh tribunal yang ditubuhkan oleh tentera penceroboh.

Jika kita imbas kembali sepanjang tempoh selepas Saddam digulingkan, siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab memporak-perandakan rantau timur tengah tersebut? Siapakah yang sebenarnya memiliki senjata pemusnah besar-besaran sehingga mampu memusnahkan negara lain yang berdaulat hanya untuk menyelamatkan dua anggota tenteranya? Negara manakah yang menaja kempen ketenteraan di rantau tersebut dengan propaganda sebagai tentera pembebasan? Dan siapakah yang sewajarnya menggantikan tempat Saddam di dalam kandang tertuduh atas tuduhan mengarahkan pasukan tenteranya menceroboh negara asing dan membunuh ribuan orang awam. Yang mana pastinya jumlah yang korbannya jauh lebih tinggi daripada dosa yang dilakukan oleh Saddam.

Seorang bekas pemimpin sebuah negara dijatuhkan hukuman mati kerana tindakan kejam beliau semasa zaman pemerintahan beliau dan ini dikatakan keadilan. Berapa ramai pemimpin di dunia yang sama malahan lebih kejam lagi daripada Saddam ini selayaknya dijatuhi hukuman yang setimpal seperti diterima oleh Saddam. Mengapa tidak dihukum sekali si gila Ariel Sharon, Bush penyembelih, General Perang Serbia serta banyak lagi diktator-diktator dunia yang telah pun mengorbankan nyawa rakyat mereka ketika mereka memerintah?

Mungkin hukuman ini dianggap sebagai adil oleh segelintir rakyat Iraq yang pernah hidup sengsara di zaman pemerintahan Saddam. Tetapi hukuman ini tidak adil bagi Saddam dan seluruh rakyat Iraq kerana mereka kini menanggung penderitaan yang lebih dahsyat akibat pencerobohan Amerika. Iraq dibiarkan porak peranda dan akan ditinggalkan sedemikian rupa. Projek perang atas nama memusnahkan senjata pemusnah besar-besaran terbengkalai dan dibuat-buat lupa tetapi hasil minyaknya tetap dirompak dengan rakusnya. Namun demikian sempat juga Amerika membina kedutaannya yang terbesar dalam sejarah di Baghdad. Apa pula tindakan negara-negara Arab dan Islam yang hanya mampu melihat dan mengutuk sahaja? Yang nyata Saddam bukan diadili atas kehendak seluruh rakyatnya. Inikah yang dikatakan keadilan?

Amin Misnun
Kuala Selangor

1 comment:

Anonymous said...

...please where can I buy a unicorn?