Wednesday, May 12, 2010

Aminurrasyid.... Cukuplah

Artikel yg dicuri...

Semoga ianya menjadi pengajaran buat kita semua…Insyaallah


Apa yang terjadi awal pagi Isnin, 26 April baru-baru ini ke atas Allahyarham Aminulrasyid Amzah adalah sesuatu yang sangat malang dan tidak seharusnya berlaku.

Begitu juga kepada anggota-anggota polis yang terlibat dalam insiden tersebut. Kita pernah melihat di negara secanggih Amerika sekalipun, terdapat insiden anggota polis tersalah tembak orang.

Tetapi dalam kes yang menimpa Allahyarham Aminulrasyid di Seksyen 11 Shah Alam, kita belum pasti apakah yang sebenarnya berlaku.

Malangnya semua pihak sudah pun menuding jari kepada polis dengan membuat kesimpulan yang berbagai-bagai sehinggakan Ketua Polis Negara yang melawat ke tempat kejadian Sabtu lalu berkata, pihak polis bersedia untuk berhadapan dengan inkues bagi mencari jawapan kepada insiden malang itu.

Rata-rata terdapat dua versi cerita mengenai insiden tersebut. Pertama versi awal polis yang mengatakan mangsa dalam keadaan yang berbahaya cuba mencederakan anggota-anggota polis yang mengejarnya dengan mengundur kereta kebelakang ke arah anggota polis. Dalam keadaan yang mengancam nyawa itu, salah seorang anggota polis telah melepaskan tembakan ke arah kereta mangsa.

Versi kedua pula ialah versi saksi iaitu rakan mangsa yang mengatakan polis yang mengejar mereka telah melepaskan tembakan ke arah mereka ketika sedang mengejar.

Nampaknya semua pihak agak beremosi dalam mengendalikan isu ini termasuklah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang berkata jika susah-susah sangat ramai yang mengkritik tindak tanduk pasukan polis, maka beliau sedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi menahan atau mengejar kenderaan yang dipandu laju dalam keadaan berbahaya dan meragukan selepas ini.

Ya benar, masyarakat awam menjadi emosional dengan insiden tersebut kerana jika mereka mendengar versi saksi, mereka akan membuat kesimpulan segera yang polis bertindak terburu-buru.

Mereka pantas mengkritik polis tetapi yang masyarakat hendak dengar ialah jaminan daripada Ketua Polis Negara bahawa siasatan yang bakal dijalankan ialah satu siasatan yang adil dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati bersalah atau cuai.

Namun begitu, selepas memperkata semua ini, perkara yang terpenting yang tidak dibangkitkan langsung oleh sesiapa termasuk ahli keluarga dan juga anggota masyarakat ialah apakah yang dibuat oleh seorang remaja berusia 15 tahun di dalam kereta pada jam 2 pagi di luar rumah.

Tidak ada sesiapa pun yang bertanya, di manakah tanggungjawab ibu-bapa dan ahli keluarga yang lain untuk memastikan anak atau budak di bawah umur tidak berada di belakang stering kereta dan secara diam-diam mengeluarkan kereta tanpa disedari oleh mana-mana ahli keluarga yang lebih tua.

Ini sekaligus menimbulkan pelbagai pertanyaan dan persoalan sejauh manakah kawalan ibu-bapa ke atas anak-anak khususnya anak remaja yang keinginan dan rasa ingin tahu mereka sedang membuak-buak di dalam diri dan ingin mencuba sesuatu yang di luar kawalan atau kemampuan mereka.

Kejadian ini hanya mengamit memori penulis ke atas apa yang telah berlaku kepada seorang anak remaja rakan penulis yang baru sahaja tamat SPM dan sedang bersiap sedia untuk memasuki kolej.

Dalam kejadian yang berlaku kurang lebih sebulan yang lalu, remaja ini telah meminjam kereta kakaknya dan keluar dari rumah sejurus sebelum tengah malam untuk menonton bola di kedai mamak. Bapanya tahu dia keluar lewat malam tetapi sepertimana kebanyakkan bapa-bapa yang lain - sama ada ambil mudah atau merasakan anak mereka sudah cukup dewasa untuk menjaga diri sendiri - lalu tidak menegah atau berkata ‘jangan keluar’.

Menjelang awal pagi, dia memandu kereta pulang dan dalam perjalanan pulang itulah kereta yang dipandunya terbabas. Mangsa tercampak keluar dari kereta dan mengalami kecederaan yang serius di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Melihat kepada kereta yang dipandunya, orang tidak dapat mengelak daripada terus membuat andaian bahawa kereta yang dipandu mangsa sudah pastinya tersangat laju.

Fakta kedua ialah mangsa sepertimana remaja yang lain, tidak memakai talipinggang keledar. Andai kata dia memakai talipinggang keledar, sudah pastinya dia tidak akan tercampak keluar dari kenderaan.

Dalam kes Aminulrasyid, di sebalik ibunya yang menyifatkannya sebagai seorang anak yang baik, mendengar kata dan bukannya seorang penjenayah dia telah secara fakta dan jelas keluar dari rumah (mungkin secara senyap) dengan memandu kereta sedangkan dia tidak layak dan tidak seharusnya memandu kereta kerana dia adalah remaja di bawah umur.

Dalam konteks fahaman dan pengetahuan ibunya, memang benar, Allahyarham bukanlah seorang penjenayah. Habis-habis pun seorang remaja yang nakal yang ingin cuba membawa kereta secara diam-diam - sebab itu keluar tengah malam kerana lebih mudah dan ibu atau orang dewasa yang lain sudah masuk beradu di kamar.

Tetapi di belakang kotak pemikiran anggota polis yang mengejar Aminulrasyid, mereka tidak tahu siapakah dia Aminulrasyid apatah lagi di dalam kegelapan tengah malam.

Untuk berlaku adil kepada polis, Aminulrasyid enggan memberhentikan keretanya apabila dikejar polis malah dia memandu dengan lebih laju - selaju-lajunya kerana takut. Pada saat dan ketika itu tidak ada mana-mana anggota polis pun yang akan terfikir seorang budak berusia 15 tahun sedang memegang stering kereta kerana waktu kejadian berlaku adalah tengah malam dan bagi mereka hanya penjenayah yang akan melarikan diri daripada polis bukannya orang awam.

Polis hanya menjalankan kerja hakiki mereka - lindungi orang awam dan kejar orang jahat atau orang yang berada dalam situasi yang mencurigakan kerana itulah yang telah diajar dalam Akademi Polis. Dan dalam kes Aminulrasyid itulah yang telah mereka lakukan - melindungi orang awam daripada pemandu yang memandu secara berbahaya dan mengejar pemandu yang memecut dalam situasi yang mencurigakan.

Dalam situasi itu, nak salahkan Aminul pun tidak boleh juga. Itulah naluri remaja apabila takut. Sama ada dia bersembunyi sehingga tidak boleh ditemui atau dia berlari selaju-lajunya - kerana takut. Sebab itulah remaja di bawah umur 17 tahun tidak dibenarkan memandu kenderaan kerana mereka tidak mampu membuat pertimbangan yang rasional.

Oleh itu, apakah pengajaran yang dapat kita perolehi daripada insiden ini? Ini dia;

(1). Kepada semua orang dewasa, berhenti mengajar remaja di bawah umur cara-cara memandu kereta. Ramai orang dewasa tidak menyedari risiko mengajar remaja di bawah umur memandu kereta dan mengambil sikap tidak apa. Dalam kes Allahyarham Aminulrasyid, penulis pasti dan penuh yakin, ada orang dewasa yang mengajarnya bagaimana hendak memandu kereta. Kalau tidak bagaimana dia tahu memandu.

(2). Kepada semua ibu-bapa, abang, kakak, pakcik atau makcik yang punya kereta atau motosikal, tolong pastikan anak kunci rumah dan anak kunci kereta/motosikal dibawa simpan di dalam bilik anda supaya anak-anak anda tidak menyelinap keluar seorang diri tanpa pengetahuan anda.

(3). Kepada semua ibu-bapa, tolong dan penulis ulang, tolong pastikan yang anak-anak remaja anda tidak sama sekali cuba untuk memandu kenderaan anda walaupun hanya untuk sekadar ke kedai mamak untuk minum teh tarik dengan kawan-kawan. Lagi pun apa kerjanya budak-budak ini hendak minum teh tarik di kedai mamak hingga jauh malam.

(4). Juga kepada semua ibu-bapa sukalah penulis menyarankan agar memikirkan semula kebenaran yang diberikan selama ini untuk anak-anak remaja keluar melepak atau minum di kedai mamak dengan memandu kereta anda sehingga melewati tengah malam. Ini kerana adalah tersangat berbahaya untuk membenarkan anak remaja memandu seorang diri di jalan raya pada tengah-tengah malam kerana kebarangkalian untuk mereka berlumba dengan rakan-rakan yang lain di atas jalan raya yang lengang dan kosong tersangatlah besar.

Tolong ingat perkara dan pesanan ini kerana itulah yang seringkali berlaku dan apabila ia berlaku adalah sudah terlalu lewat untuk menyesal dan menyalahkan diri sendiri setiap kali terlihat baju anak-anak di dalam almari.

Cukuplah apa yang telah berlaku. Semoga insiden yang menimpa Allahyarham Aminulrasyid menyedarkan kita semua.


Blog with my iPhone

2 comments:

Anna Molly Dean said...

nak kopipes entri ni. boleh?

kemusykilan lagi, kejadian tu pagi Isnin kan? Budak tu tak sekolah ke?
-Dyana Halim-

Boleh said...

The real extremists and terrorists in multiracial Malaysia are born, bred and indoctrinated by none other than UMNO, especially under the reign of Mahathir.