Friday, December 01, 2006

UKM mercu tanda kualiti pendidikan negara

Oleh MOHD. ANAS ALI

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terletak di Bangi, Selangor mempunyai satu formula kepimpinan yang sangat prihatin dalam mewujud dan mengekalkan sistem nilai kualiti.

Dari satu kepimpinan ke satu kepimpinan yang lain, usaha ke arah peningkatan dan pengekalan kualiti diamalkan. Pemimpin di setiap peringkat di UKM begitu komited dan cekal dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan. Kepemimpinan UKM juga berjaya mewujudkan suasana serta galakan kepada warga universiti tentang usaha peningkatan kualiti dan menjana persaingan yang sihat dengan meletakkan agenda kualiti sebagai salah satu daripada tiga agenda utama universiti iaitu penyelidikan, pengantarabangsaan, dan kualiti atau ringkasnya RIQ.

UKM telah melaksanakan proses jaminan kualiti di setiap peringkat yang dilihat berkait dalam usaha peningkatan kualiti, antaranya jaminan kualiti pensyarah, jaminan kualiti pelajar, jaminan kualiti pentadbiran dan jaminan kualiti kakitangan sokongan. Di setiap peringkat ini, dilaksanakan pelbagai tindakan dan program yang dapat menjamin kualiti dalam persembahan kerja serta penyampaian perkhidmatan di peringkat masing-masing. Ia seolah-olah melahirkan kualiti dan mutu di peringkat akar umbi sesebuah organisasi.

Dalam menjamin perancangan strategik dapat direalisasikan, UKM telah menggubal pelan tindakan jangka panjang iaitu Pelan Strategik 2000-2020. Hasil daripada semakan semula, UKM merangka Pelan Strategik UKM Perspektif 2006-2010, yang sejajar dengan perubahan semasa dan Rancangan Malaysia Kesembilan yang telah dirangka kerajaan. Pelan Strategik UKM ini adalah pelan tindakan yang akan memandu UKM dalam menghadapi perkembangan baru dan perubahan semasa. Keharmonian dalam perancangan strategik yang selari dengan misi dan visi universiti ini dilihat menjadi nadi kepada pencapaian dan peningkatan dalam kualiti pengurusan UKM.

Pelbagai mekanisme digunakan dalam mengukur pencapaian objektif kualiti. Instrumen soal selidik dan aduan pelanggan digunakan dalam sistem pengurusan kualiti ISO 9001:2000. Antara mekanisme yang utama diaplikasikan adalah seperti Sistem Aduan Dalaman Pelajar (SADP), Sistem Aduan Dalaman (SAD) dan Sistem Aduan Kerosakan (SAK). Selain itu, pelbagai petunjuk digunakan dalam menentukan tahap kepuasan hati pelanggan dan pelbagai kaedah digunakan untuk mengukur kepuasan hati pelanggan. Antaranya ialah melalui maklum balas seperti surat, e-mel dan lain-lain, kaji selidik tahap kepuasan, keratan akhbar, dialog, perjumpaan berkala bersama perwakilan pelajar serta laporan dari agensi-agensi luar. Kaedah yang telah diamalkan ini telah membantu UKM dalam menambah baik sistem pengurusan dan kualiti kerja di semua peringkat.

Sebagai sebuah universiti yang begitu prihatin terhadap semua pihak dalam pentadbirannya, semua pihak boleh mengakses kemudahan Internet dan Intranet yang dibangunkan oleh pihak universiti. Sistem yang dibangunkan ini membantu pengurusan universiti menyebarkan maklumat- maklumat serta agenda-agenda yang akan dibawa UKM dalam usaha melibatkan semua pihak dalam penjanaan idea. Daripada kakitangan sehingga ke pelajarnya, kemudahan ini membantu menghubungkan pihak atasan atau pengurusan tertinggi dalam perkongsian maklumat dan sekaligus dapat menilai kualiti dalam penggunaan sistem teknologi maklumat di UKM.

Agenda penyelidikan juga telah menjadi salah satu agenda utama UKM. Dalam melaksanakan agenda penyelidikan ini, UKM telah memutuskan supaya pengurusan penyelidikan mengamalkan sistem pengurusan berkualiti bertaraf dunia dan berlandaskan piawai yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan UKM sebagai antara 100 universiti terbaik di dunia dalam bidang penyelidikan juga memberikan gambaran bahawa segenap pihak telah berusaha keras dalam bidang yang kini dianggap penyumbang kepada kemajuan negara. Hasil usaha pihak-pihak terlibat dalam bidang penyelidikan UKM ini tidak terhenti di situ apabila UKM telah dikenal pasti sebagai salah sebuah universiti penyelidikan di negara ini sempena Rancangan Malaysia Kesembilan. Pencapaian ini bukanlah untuk mendabik dada tetapi inilah yang UKM peroleh setelah usaha demi usaha di pelbagai peringkat yang melibatkan banyak pihak dilakukan.

Jika dilihat dari aspek pengantarabangsaan yang juga merupakan agenda utama UKM, pihak pengurusan telah banyak menjalinkan kerjasama khususnya bidang akademik, dengan universiti-universiti di Asia dan seantero dunia. Melalui jalinan kerjasama yang wujud, jelas menggambarkan pengiktirafan dunia terhadap kualiti pendidikan UKM di persada antarabangsa. UKM juga banyak terlibat dengan badan-badan antarabangsa dengan menjadi ahli kepada badan tersebut. Antaranya, “The Global University Network for Innovation” (GUNI-AP), “International Association of University Presidents” (IAUP) dan lain-lain badan antarabangsa. Selain itu, dalam bidang akademik, kualiti pendidikan dapat dilihat melalui pelaksanaan program dwi-ijazah dalam bidang kejuruteraan dengan Universiti Duisburg Essen di Jerman dan pelbagai lagi program-program akademik yang melibatkan antarabangsa.

Jelasnya, UKM kini mendahului bidang pengajian tinggi di Malaysia dalam usaha menjadi universiti yang sentiasa terkehadapan melangkaui zamannya melalui penekanan aspek kualiti. UKM yang memartabatkan bahasa Melayu, mahukan anak didiknya diperlukan oleh segenap sektor sebagai modal insan yang mantap dan berkuailiti. Kini, UKM sudah pun mencapai impiannya mengeluarkan modal insan berkelulusan ph.D seramai 100 orang pada setiap tahun. Ciri-ciri kualiti yang kini dipamerkan oleh UKM memang selayaknya mendapat pengiktirafan negara. Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2006 yang diterima oleh UKM menunjukkan bahawa organisasi ini telah memenuhi segala kriteria-kriteria yang telah ditetapkan melalui pengaplikasian amalan kerja berkualiti dalam pengurusan dan persembahan kerja.

Sebagai sebahagian warganya, sekalung ucapan tahniah dan terima kasih kerana membawa UKM ke arah kegemilangan yang berkualiti.

- PENULIS adalah mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia

sesi 2005/2006.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1130&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_06.htm&arc=hive

p/s -->> ukm semakin kukuh..tapi alumni ampeh~~ kosian den

No comments: